Archive for the ‘Majlis Ilmu’ Category

Rihlah Ilmiah

Pagi 26 April saya berkejar ke DBP menghadiri majlis peluncuran buku autobiografi Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud bertajuk “Rihlah Ilmiah Wan Mohd. Nor Wan Daud dari Neomodernisme Ke Islamisasi Ilmu Komtemporer”.

Bukunya sangat menarik sebab ditulis dalam format soal jawab. Menurut Prof Zaini Ujang ketika melancarkan buku tersebut dia cuba membaca soalan yg dia mahukan jawapan sahaja. Pendekatan baru menulis autobiografi.

Rihlah Ilmiah_Prof Wan Mohd Nor bin Wan Daud

 

Buku ini menyingkap kehidupan beliau yang sekaligus menyuluh hubungan beliau dan gurunyayg dihormati Prof. Muhammad Naquib al Attas. Perjalanan ilmu Prof Wan Moh Nor mengesankan kerana beliau sempat belajar dengan Prof Fazlur Rahman yang menjadi sandaran aliran liberal manakala guru beliau juga Prof Naquib sama sekali bertentangan dengan pendapat Fazlur Rahman.

Demikian, cara anak murid menyantuni gurunya. Prof Wan Mohd Nor adalah hasil daripada tarbiah ta’dib yg diusahakan dan diperjuangkan oleh Prof Muhammad Naquib. Selamat membaca buku ini!

 

Advertisements

REZEKI DARIPADA SUMBER YANG TIDAK TERJANGKA

Ayat seribu dinar antara ayat al Quran yang popular di kalangan umat Islam di Malaysia. Barangkali indikator popularnya bolehlah diukur daripada banyaknya frame ayat tersebut yang digantung di rumah-rumah, kedai dan pejabat. Di rumah saya sendiri ada 2 buah frame ayat seribu dinar yang belum bergantung (kedua-duanya adalah hadiah, walhamdulillah. Sebenarnya saya sukakan dinding yang kosong hehe).

Kandungan ayat seribu dinar menyatakan kepada kita akan kelebihan hamba yang bertaqwa. Kelebihan yang dimaksudkan itu ialah almuttaqiy / orang yang bertaqwa akan diberi jalan keluar atas apa yang dihadapi dan dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak terjangka.

Malam selepas solat fardu maghrib, 2 Zulqaedah 1431H bersamaan 9 Oktober 2010 saya berpeluang bertemu dan duduk dalam satu majlis ilmu seorang tokoh ilmu hadis daripada Nadwatul Ulama’, India iaitu AsSyeikh Al Muhaddis Salman Al Husaini An Nadwi.  Majlis tersebut berlangsung di Pusat Pengajian Ba’alawi Kuala Lumpur.

Syeikh Salman

Berdiri: TG Ahmad Fahmi Duduk: Syeikh AlMuhaddis Salman AnNadwi

Assyeikh walaupun kepenatan daripada musafir ke Jakarta, Banjarmasin, Kelantan dan Kedah tetap bersemangat menyampaikan ilmu dan misi menyebarkan kepentingan menuntut ilmu dengan bersanad. Beliau menyatakan kekuatan ilmu Islam yang berlangsung daripada zaman Rasulullah SAW hinggalah sekarang  adalah berpunca daripada pengajian bersanad. Keaslian ilmu dan amanah ilmiah yang dipegang oleh para alim ulama adalah kunci kepada kelangsungan sunnah dan syariah.

Pada akhir pengajian malam tadi Assyeikh telah memberikan amanah kepada para alim ulama yang hadir, para asatizah dan juga semua pencinta ilmu yang hadir untuk memegang amanah untuk menyebarkan ilmu dan tidak menyembunyikannya. Sebagaimana assyeikh meminta semua yang hadir berpegang teguh kepada al Quran dan asSunnah.

Dalam masa lebih kurang sejam assyeikh telah menceritakan kaitan antara al Quran dan Hadis yang menjadi syarih atau penerang yang menjelaskan makna wahyu dalam al Quran.  Kaedah menyampaikan hadis pada zaman di mana pembesar suara belum wujud lagi atau belum digunakan lagi dalam kelas pengajian hadis juga diceritakan.  Dalam majlis pembacaan hadis selalunya ada murid yang bertindak sebagai mustamli (penyampai hadis). Mustamli akan berada di tempat-tempat tinggi atau di atas pokok  untuk mengulang perkataan yang disampaikan oleh tuan guru. Sekiranya tuan guru menyebut haddathana fulanun maka mustamli akan mengulang haddathana fulanun, berturutanlah mustamli yang berada lebih jauh jaraknya untuk mengulang patah perkataan tersebut.

Benar saya berasa sangat beruntung diberi nikmat ilmu pada malam tadi. Apatah lagi ceramah assyeikh dalam bahasa Arab yang begitu jelas dan sangat menarik! Beliau pemidato yang hebat!

Usai kuliah semua yang hadir bersolat jamaah Isya dan sekali lagi diimamkan oleh Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam alBanjari alNadwi alMaliki. Saya berkongsi rasa syukur dapat hadir dan memperoleh sesuatu yang bermakna bersama anak saya Anas Hayyan (untung benar dia baru berumur 10 tahun telah beroleh ijazah hadis), adik saya Zainan serta isterinya Nursyafini, sahabat saya Ainol Kusyairi (penulis buku PTS-tahniah bersemangat hadir walaupun datang jauh dari Penang!) dan Ustaz Syed Abd Hafiz Ben Yahya daripada JPN Kuala Lumpur.

Terima kasih tuan rumah Pusat Pengajian Baalawi yang gigih menganjurkan majlis ilmu dari masa ke masa. Semoga beliau terus dikurniakan rezeki halal dan kesihatan yang berpanjangan untuk membantu penyebaran ilmu ini.

 

Hikayat Kadi dengan Harami !

Pada tahun 2006 saya telah membeli sebuah buku cerita yang diterjemahkan oleh Almarhum Tuan Qadhi Haji Abu Bakar bin Haji Hasan (gambar di bawah). Setelah dibelek-belek buku cerita itu, tercatat tarikh cetakan pada 1924 / 1343H.

Buku tersebut asalnya berbahasa arab dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Saya dapat simpulkan buku ini sangat menarik. Maka itulah antara sebab almarhum Tuan Kadi Muar menterjemah buku itu ke dalam bahasa ibunda untuk dinikmati oleh anak watannya.

Tn Kadi Muar Tuan Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Al Muari.

Untuk pengetahuan bersama, Tuan Kadi Muar Tn Hj Abu Bakar adalah seorang yang gigih menulis dan kuat mempertahankan akidah ummah sepanjang hayatnya. Antara karyanya ialah Taman Persuraian Haji Bakar, yang berkisar mengenai sembahyang qabliyah Jumaat, Majlis Uraian Muar-Johor, Sanggamara Dalam Perkara Menolak dan Membatalkan Perkataan Sayid Muhammad Rasyid Ridha Yang Berkata Dengan Niat Ushalli Itu Bid’ah, Cogan Perikatan, Ilmu Falak( ditulis dalam bahasa Arab), Ilmu Wafaq (dalam bahasa Arab) dan Nihayatut Taqrib fi Ma’rifatil Irtsi wat Ta’shib (ilmu faraid).*

Hikayat Kadi dengan Harami

Ceritanya bermula apabila seorang kadi (kadi al muslimin) pada zaman Harun Al Rasyid berjalan pada waktu malam dan terserempak dengan  seorang harami (pencuri-harami al muslimin). Maka bermulalah perdebatan yang hebat antara keduanya. Perdebatan antara seorang kadi dan pencuri itu adalah debat ilmiah…bukan main pukul-pukul! Ia disulami dengan dalil dan hujah Al Quran dan Hadis walaupun dia seorang pencuri! Barangkali sebab itulah si pencuri menggelarkan dirinya Harami al muslimin.

Antara petikan hikayat tersebut:

“Kata orang yang meriwayatkan ini kisah adalah malam itu sangat-sangat gelap gelita, maka antara qadi itu berjalan pada hal tiada mengetahui ia akan barang yang berlaku atasnya oleh takdir. Maka, tiba-tiba berjumpa ia dengan seorang harami ( pencuri) yang masyhur pekerjaannya dengan mencuri maka menyergah ia atas qadi itu satu suara yang kuat yang memeranjat dan menakut akan dia, maka qadi itu pun terperanjat serta katanya: “Ya Allah! Ya Sattar!” Dan lalu batal air sembahyangnya bukan ini pencuri tetapi ifrit.

Maka harami itu pun rapat kepada qadi dan katanya: “Ya Maulana Al Kadi! Turunlahkamu daripada kuda kamu dan cabutlah akan pakaian kamu!”

Maka jawab kadi itu “Apa tiada kamu malu pada hal aku ini kadi muslimin?”. Maka jawab harami itu baginya : “ Dan aku sariqul muslimin (pencuri muslimin)!”

“ Aku banyak hairan daripada pekerjaan engkau dan kurang akal engkau kerana apa sebab engkau keluar malam-malam buta seorang diri pada ini tempat yang sunyi manusia lalu lalang di sini dan tiba-tiba engkau berjalan dengan tiada rafiq (kawan)?” Maka kata kadi: Aku sangka sudah hampir subuh..”

Maka kata harami: “ Allah, Allah! Ya kadi! Bagaimanakah engkau jadi kadi muslimin dan engkau salah sekali tiada mengetahui saat dan waktu-waktu dan engkau jahil pula pada kawakib (bintang-bintang). Apa engkau tidak tahu adalah kawakib itu tujuh iaitu qamar, syams, atarid, zuhrah, marikh, musytari, zuhal, dan buruj itu dua belas buruj iaitu haml, thur, jauza’…………..”

Baiklah sedikit sahaja saya petik untuk tatapan saudara/i. Saya sedang menaip semula cerita ini sebenarnya. Semakin diulang taip semakin banyak yang saya tahu. Seronok membaca karya klasik.

Muka depan hikayat

* Diambil nama judul buku tulisan Almarhum Tn Kadi Muar daripada artikel Tuan Guru Mohd Saghir.

Amalan menghadapi wabak influwanzal khinzir

Wabak H1N1 semakin merebak menular dan tersebar marak ke merata tempat. Saya juga bimbang dengan fenomena ini. Di sini saya sarankan kita lihat laman web ini.http://al-fanshuri.blogspot.com/.
Terima kasih kepada tuan web tersebut. Semoga bermanfaat pada kita semua.

%d bloggers like this: