Archive for the ‘Famili’ Category

Hadiah yang menggembirakan saya.

Saya gemar membaca. Saya pening dan rasa ‘ tak betul’ kalau tidak membaca bahan bacaan yang boleh ‘menggugat’ fikiran atau pengetahuan saya. Terasa kenyang dan puas bila dapat membaca bahan bacaan yang pelbagai. Antara jenis buku yang saya minati ialah biografi tokoh, travelog, sejarah, bacaan umum, novel  (bukan novel popular!) dan tentunya kitab/buku agama.

Bertemu Prof Kamil (Travelog Haji) di Plaza Angsana

Saya cukup letih melayan bahan bacaan yang hanya memberikan saya sumber maklumat yang remeh temeh. Hanan isteri saya terkadang kecil hati apabila saya tidak melayan perbualannya, hanya kerana saya baru membeli sebuah buku baru. Ia berlalu begitu sahaja di awal perkahwinan dan sekarang isteri saya biasa dengan keadaan itu. Bawah bantal, sebelah katil, atas meja makan dan celah pintu kereta antara lokasi buku saya selain tempat asalnya di rak yang disediakan. Meriah bila mata saya sentiasa melihat buku di mana-mana. Sekali lagi isteri saya pening dengan ‘penguasaan buku’ di mana-mana itu.

Antara hadiah yang suka saya berikan untuk sesiapa pun ialah buku. Orang yang baru berkahwin saya selalu cadangkan untuk dihadiahkan buku tentang rumah tangga atau persiapan kelahiran anak! Orang yang bersara pun saya hadiahi buku.

Mendapatkan autograf penulis tersohor Faisal Tehrani di Pesta Buku KL

Pupuk minat membaca dari kecil

Saya kira tabiat membaca perlu disemai sejak kecil. Saya hasil didikan bapa saya yang gemar membaca. Saya sedari umur kanak-kanak melihat tabiat itu sebagai rutin harian. Akhbar sejak dari dahulu dilanggan secara harian. Pengedar akhbar Si Uncle Chong yang melempar akhbar setiap pagi mengenali kesemua adik beradik saya. Kadang-kadang Uncle Chong melempar masuk akhbar ke rumah pelanggannya tanpa memberhentikan motor. Kemahiran tinggi bermotorsikal! Sekarang Uncle Chong semakin tua dan uban di kepala semakin banyak.

Ayah saya sebelum pulang ke rumah dari mengajar di Maahad Johor akan singgah di Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru (kami adik beradik menjadi ahli perpustakaan sejak kecil lagi). Abah akan meminjamkan buku untuk kami baca. Hasilnya, bahan bacaan saya adik beradik tidak pernah putus. Hinggakan pada satu hari abang saya bersungut bahawa kebanyakan buku fiksyen kanak-kanak di perpustakaan telah habis dibaca! Abah menghadapi masalah untuk memilih buku kerana hampir semua buku telah dibaca. Saya ketika berkunjung ke perpustakaan itu sering kali naik ke tingkat atas (kawasan buku orang dewasa) untuk membaca buku yang sedikit berbeza. Sehingga kini, membaca bukan lagi dipaksa-paksa, membaca telah jadi rutin yang menyenangkan.

Apa yang lebih menggembirakan hati saya, pada ulangtahun kelahiran, saya dihadiahi buku oleh anak saya. Buku yang anak saya hadiahkan menurut Hanan dipilih oleh mereka sendiri. Mereka menggunakan duit raya masing-masing dan dilepaskan oleh Hanan di Alamanda. Mereka memilih untuk membeli buku. Anas membeli buku Secangkir Teh Pengubat Letih (Galeri Ilmu) tulisan Akhi Hasrizal bin Abd Jamil.

Bila ditanya kenapa Anas memilih buku itu, dia menjawab sebab abah selalu out station!

Buku pilihan Anas !

Pak Habib menghadiahkan saya buku politik tulisan beliau.*

 

(Terserempak dengan Syed Husien (Pak Habib) penulis buku politik. Saya melayan beliau berbual berkaitan pengalaman beliau menulis buku politik semasa menunggu penerbangan ke Kota Bahru tahun lepas. Akhir pertemuan saya dihadiahkan buku terbaru beliau)

Manakala Abir memilih buku Bijak Berbicara Mencuit Rasa tulisan  Badrul Sani (Ameen Publishing). Abir memberitahu sebab dia memilih untuk membeli buku tersebut kerana tertarik dengan tajuknya dan barangkali muka depan buku itu terpapar gambar penulisnya bersongkok kot!

Buku pilihan Abir untuk orang yang selalu berucap dan berceramah...

Mudah-mudahan tabiat suka membaca berakar di hati anak-anak saya sampai bila-bila. Ia kunci kepada ilmu, kita jauh daripada ilmu bila kita tidak membaca. Demikian membaca al Quran terlebih aula / utama dan itulah asas pembacaan utama seorang muslim. Jangan berhenti setakat al Quran malah perlu diteruskan dengan membaca tafsirannya. Bacalah, nescaya kita semakin dekat dengan Allah…

Buat anak-anak abah, jangan berhenti membaca. Abah gembira dengan hadiah buku itu…

Advertisements

Lelah & Inovasi

Semalam 17 Ogos 2010 bersamaan 7 Ramadan 1431H saya ke Klinik Kesihatan Putrajaya. Saya memohon kebenaran Ketua Jabatan untuk membawa anak ketiga saya Anwar Hakim ke klinik kerana dia menampakkan simptom semput. Sukar bernafas dan bunyi wisel di dada ketika menarik nafas adalah antara tanda-tanda lelah/asma.

Apa yang menarik di Klinik Kesihatan Putrajaya ialah penggunaan teknologi dalam melayan pelanggan/pesakit yang datang untuk menerima rawatan dan sebagainya. Saya mendaftar dan menerima kad lawatan pesakit.

Kad lawatan pesakit

” Encik bawa kad ini ke kaunter rawatan, scan kad ini dan tunggu nombor encik dipanggil ya” kata jururawat di bahagian pendaftaran.

“Wah, bagus ya. Ada pengalaman baru hari ini!” saya bercakap seorang diri.

Oleh kerana Anwar sakit lelah, dia dibawa terus ke sudut nebulizer. Lalu menyedut gaslah dia. Setelah dua kali sesi nebulizer, Anwar masih mengalami simptom lelah.

Agak mencabar apabila menunggu lama giliran bertemu doktor. Klinik ini mencatatkan purata pesakit yang datang ialah sekitar 1200 orang sehari! Ramainya!

Apa pun layanan semua staf dan doktor sangat bagus. Doktor memberikan Anwar ‘ bekal’ inhaler untuk digunakan di rumah. Selesai pemeriksaan dengan doktor, saya dipesan ” Lepas ini ke  bahagian farmasi. Encik scan kad rawatan dan tunggu nombor dipanggil ya. Maklumat ubat dan inhaler sudah dalam makluman farmasi “.

“Oh, online system!” sekali lagi saya berkata hanya dalam hati. Kita tak perlu bawa deskripsi ubat ke farmasi sendiri atau jika di sesetengah hospital ada pembantu yang bertugas ambil kenyataan doktor ke bahagian farmasi.

Pengalaman ini memngingatkan saya tentang inovasi. Inovasi banyak memudahkan kerja kita. Ringkasnya inovasi bermaksud MELAKUKAN KERJA YANG SAMA DENGAN CARA YANG BERBEZA DAN LEBIH BERKESAN. Untuk melayan 1200 orang pesakit sehari memerlukan inovasi dan cara penyelesaian yang berkesan. Benar masa menunggu pemeriksaan doktor agak lama. Tapi tanpa pengurusan yang sistematik saya rasa masa menunggu akan lebih lama dan meresahkan semua pihak.

Alhamdulillah…pengalaman adalah satu pengajaran. Terima kasih dan kepada semua kakitangan Klinik Kesihatan Putrajaya! Oh teringat nak bagi Anwar makan ubat dan observe cara dia guna inhaler.

Janganlah sampai besar Anwar pakai alat ini.

Dialah teman dalam semua situasi.

Saya dan dia berbeza. Cara fikir saya dan dia berbeza. Kesukaan saya dan dia ada yang sama, tapi banyak juga yang tak sama. Namun saya sangat perlukan dia. Bezanya saya dan dia, memberikan suasana  dan nuansa harmoni. Kami sering berbeza pendapat tapi akhirnya kami sepakat. Begitulah selalunya ia berakhir. Saya perlukan isteri saya Hanan.Puas saya cuba jadi semacam dia, gagal. Dia puas berfikir gaya saya, juga gagal. Memang kami disatukan atas perbezaan.

Sebagaimana malam perlukan siang untuk malam kekal sebagai malam. Setiap sesuatu Allah SWT jadikan dengan berpasangan. Ironinya pasangannya adalah berbeza sekali antara satu sama lain. Lelaki pasangannya perempuan, malam pasangannya siang, panas pasangannya sejuk. Pasangan yang tidak berbeza, adalah pasangan songsang! Sebagaimana apabila lelaki berpasangan dengan lelaki, perempuan berpasangan dengan perempuan.

Hayatilah sunnatuLlah ini yang menjadikan setiap satu makhluknya berpasang-pasangan dan berbeza. Ia untuk kita saling mengenal sebagaimana Allah jadikan manusia dengan pelbagai bangsa. Kepelbagaian ini untuk kita saling mengenali bukan saling memusuhi dan menjadi alasan kepada perpecahan.  Perbezaan sebenarnya mengukuh antara satu sama lain.

Saya semakin menghargai apa jua ketentuan dan nikmat kurniaan Allah SWT, Alhamdulillah.

Saya dan isteri tercinta

Puisi buat Aufa Haninah

Tuan Ainol Kusyairi telah mengirimkan kepada saya puisi berbahasa Arab. Sungguh bererti kerana puisi tersebut khusus sempena kelahiran anak ke 4 saya Aufa Haninah (lahir pada 4hb Julai 2008). Berikut puisi yang beliau karang dengan bahr al rajaz. Saya kongsikan bersama kalian. Semoga Tuan Ainol terus aktif berkarya.

بسم الله الرحمن الرحيم

بمناسبة ولادة سيدة أوفى حنينة بنت صحابي المحترم الأستاذ أحمد زكوان رحمهما الله تعالى

تاريخ:4 يوليو 2008

أوفى حنينة

يا يوم تشهدْ أنّ نورا ضاحكا

مستقبلا يا فارحا يا مرحبا

أوفى حنينة أهلا…

وترقص الأشجار في طبل الهوى

والعندليب نازل فيها الجدى

يلوّن الأخبار ألوان النوى

و رفرفت به الطيور بالرضا

تسبح الله العظيم بالهدى

تدعو لها خيرا و حسن التقوى

من : الفقير إلى الله,

محمد عين القشيري

( الحر بوزن الرجز )

Aufa bersama ibunya

Aufa bersama ibunya

Merenung masa depannya....

Merenung masa depannya....

*Tuan Ainol (sahabat sekuliah di Universiti Mu’tah)sekarang penterjemah sepenuh masa dan penulis buku terbitan PTS antara tajuk buku beliau ialah Cerita-cerita motivasi untuk Iman, Cincin Delima Raja, Ikan Nun & Surat Tuhan dan Di manakah Tuhan? Beliau boleh dihubungi melalui http://www.myezwriter.com

Hubbul watan minal iman…

Tahniah Anas!! Anak sulung saya telah menyertai pertandingan nyanyian patriotik dan akhirnya dapat tempat kedua. Meriah betul Plaza Angsana dengan lagu2 patriotik ketika itu. Sikap cinta akan negara memang penting, namun lebih penting lagi sikap itu perlu berterusan bukan setakat semasa kanak2 sahaja.
Kita juga perlu melihat kembali sejarah negara agar tahu duduk sesuatu perkara. Bagaimana asal usul kita, bagaimana susahnya pendakwah menyebarkan cahaya Islam di wilayah nusantara ini. Maka dengan tahu sejarah kita akan lebih gagah mendepani halangan, lebih maju dan kreatif menyahut cabaran…

Sejurus mempersembahkan lagu bersama rakan-rakan

Sejurus mempersembahkan lagu bersama rakan-rakan

Keluargaku Inspirasiku

Eidulfitri 1430H

Eidulfitri 1430H

%d bloggers like this: