Archive for Oktober 2010

Hadiah yang menggembirakan saya.

Saya gemar membaca. Saya pening dan rasa ‘ tak betul’ kalau tidak membaca bahan bacaan yang boleh ‘menggugat’ fikiran atau pengetahuan saya. Terasa kenyang dan puas bila dapat membaca bahan bacaan yang pelbagai. Antara jenis buku yang saya minati ialah biografi tokoh, travelog, sejarah, bacaan umum, novel  (bukan novel popular!) dan tentunya kitab/buku agama.

Bertemu Prof Kamil (Travelog Haji) di Plaza Angsana

Saya cukup letih melayan bahan bacaan yang hanya memberikan saya sumber maklumat yang remeh temeh. Hanan isteri saya terkadang kecil hati apabila saya tidak melayan perbualannya, hanya kerana saya baru membeli sebuah buku baru. Ia berlalu begitu sahaja di awal perkahwinan dan sekarang isteri saya biasa dengan keadaan itu. Bawah bantal, sebelah katil, atas meja makan dan celah pintu kereta antara lokasi buku saya selain tempat asalnya di rak yang disediakan. Meriah bila mata saya sentiasa melihat buku di mana-mana. Sekali lagi isteri saya pening dengan ‘penguasaan buku’ di mana-mana itu.

Antara hadiah yang suka saya berikan untuk sesiapa pun ialah buku. Orang yang baru berkahwin saya selalu cadangkan untuk dihadiahkan buku tentang rumah tangga atau persiapan kelahiran anak! Orang yang bersara pun saya hadiahi buku.

Mendapatkan autograf penulis tersohor Faisal Tehrani di Pesta Buku KL

Pupuk minat membaca dari kecil

Saya kira tabiat membaca perlu disemai sejak kecil. Saya hasil didikan bapa saya yang gemar membaca. Saya sedari umur kanak-kanak melihat tabiat itu sebagai rutin harian. Akhbar sejak dari dahulu dilanggan secara harian. Pengedar akhbar Si Uncle Chong yang melempar akhbar setiap pagi mengenali kesemua adik beradik saya. Kadang-kadang Uncle Chong melempar masuk akhbar ke rumah pelanggannya tanpa memberhentikan motor. Kemahiran tinggi bermotorsikal! Sekarang Uncle Chong semakin tua dan uban di kepala semakin banyak.

Ayah saya sebelum pulang ke rumah dari mengajar di Maahad Johor akan singgah di Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru (kami adik beradik menjadi ahli perpustakaan sejak kecil lagi). Abah akan meminjamkan buku untuk kami baca. Hasilnya, bahan bacaan saya adik beradik tidak pernah putus. Hinggakan pada satu hari abang saya bersungut bahawa kebanyakan buku fiksyen kanak-kanak di perpustakaan telah habis dibaca! Abah menghadapi masalah untuk memilih buku kerana hampir semua buku telah dibaca. Saya ketika berkunjung ke perpustakaan itu sering kali naik ke tingkat atas (kawasan buku orang dewasa) untuk membaca buku yang sedikit berbeza. Sehingga kini, membaca bukan lagi dipaksa-paksa, membaca telah jadi rutin yang menyenangkan.

Apa yang lebih menggembirakan hati saya, pada ulangtahun kelahiran, saya dihadiahi buku oleh anak saya. Buku yang anak saya hadiahkan menurut Hanan dipilih oleh mereka sendiri. Mereka menggunakan duit raya masing-masing dan dilepaskan oleh Hanan di Alamanda. Mereka memilih untuk membeli buku. Anas membeli buku Secangkir Teh Pengubat Letih (Galeri Ilmu) tulisan Akhi Hasrizal bin Abd Jamil.

Bila ditanya kenapa Anas memilih buku itu, dia menjawab sebab abah selalu out station!

Buku pilihan Anas !

Pak Habib menghadiahkan saya buku politik tulisan beliau.*

 

(Terserempak dengan Syed Husien (Pak Habib) penulis buku politik. Saya melayan beliau berbual berkaitan pengalaman beliau menulis buku politik semasa menunggu penerbangan ke Kota Bahru tahun lepas. Akhir pertemuan saya dihadiahkan buku terbaru beliau)

Manakala Abir memilih buku Bijak Berbicara Mencuit Rasa tulisan  Badrul Sani (Ameen Publishing). Abir memberitahu sebab dia memilih untuk membeli buku tersebut kerana tertarik dengan tajuknya dan barangkali muka depan buku itu terpapar gambar penulisnya bersongkok kot!

Buku pilihan Abir untuk orang yang selalu berucap dan berceramah...

Mudah-mudahan tabiat suka membaca berakar di hati anak-anak saya sampai bila-bila. Ia kunci kepada ilmu, kita jauh daripada ilmu bila kita tidak membaca. Demikian membaca al Quran terlebih aula / utama dan itulah asas pembacaan utama seorang muslim. Jangan berhenti setakat al Quran malah perlu diteruskan dengan membaca tafsirannya. Bacalah, nescaya kita semakin dekat dengan Allah…

Buat anak-anak abah, jangan berhenti membaca. Abah gembira dengan hadiah buku itu…

REZEKI DARIPADA SUMBER YANG TIDAK TERJANGKA

Ayat seribu dinar antara ayat al Quran yang popular di kalangan umat Islam di Malaysia. Barangkali indikator popularnya bolehlah diukur daripada banyaknya frame ayat tersebut yang digantung di rumah-rumah, kedai dan pejabat. Di rumah saya sendiri ada 2 buah frame ayat seribu dinar yang belum bergantung (kedua-duanya adalah hadiah, walhamdulillah. Sebenarnya saya sukakan dinding yang kosong hehe).

Kandungan ayat seribu dinar menyatakan kepada kita akan kelebihan hamba yang bertaqwa. Kelebihan yang dimaksudkan itu ialah almuttaqiy / orang yang bertaqwa akan diberi jalan keluar atas apa yang dihadapi dan dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak terjangka.

Malam selepas solat fardu maghrib, 2 Zulqaedah 1431H bersamaan 9 Oktober 2010 saya berpeluang bertemu dan duduk dalam satu majlis ilmu seorang tokoh ilmu hadis daripada Nadwatul Ulama’, India iaitu AsSyeikh Al Muhaddis Salman Al Husaini An Nadwi.  Majlis tersebut berlangsung di Pusat Pengajian Ba’alawi Kuala Lumpur.

Syeikh Salman

Berdiri: TG Ahmad Fahmi Duduk: Syeikh AlMuhaddis Salman AnNadwi

Assyeikh walaupun kepenatan daripada musafir ke Jakarta, Banjarmasin, Kelantan dan Kedah tetap bersemangat menyampaikan ilmu dan misi menyebarkan kepentingan menuntut ilmu dengan bersanad. Beliau menyatakan kekuatan ilmu Islam yang berlangsung daripada zaman Rasulullah SAW hinggalah sekarang  adalah berpunca daripada pengajian bersanad. Keaslian ilmu dan amanah ilmiah yang dipegang oleh para alim ulama adalah kunci kepada kelangsungan sunnah dan syariah.

Pada akhir pengajian malam tadi Assyeikh telah memberikan amanah kepada para alim ulama yang hadir, para asatizah dan juga semua pencinta ilmu yang hadir untuk memegang amanah untuk menyebarkan ilmu dan tidak menyembunyikannya. Sebagaimana assyeikh meminta semua yang hadir berpegang teguh kepada al Quran dan asSunnah.

Dalam masa lebih kurang sejam assyeikh telah menceritakan kaitan antara al Quran dan Hadis yang menjadi syarih atau penerang yang menjelaskan makna wahyu dalam al Quran.  Kaedah menyampaikan hadis pada zaman di mana pembesar suara belum wujud lagi atau belum digunakan lagi dalam kelas pengajian hadis juga diceritakan.  Dalam majlis pembacaan hadis selalunya ada murid yang bertindak sebagai mustamli (penyampai hadis). Mustamli akan berada di tempat-tempat tinggi atau di atas pokok  untuk mengulang perkataan yang disampaikan oleh tuan guru. Sekiranya tuan guru menyebut haddathana fulanun maka mustamli akan mengulang haddathana fulanun, berturutanlah mustamli yang berada lebih jauh jaraknya untuk mengulang patah perkataan tersebut.

Benar saya berasa sangat beruntung diberi nikmat ilmu pada malam tadi. Apatah lagi ceramah assyeikh dalam bahasa Arab yang begitu jelas dan sangat menarik! Beliau pemidato yang hebat!

Usai kuliah semua yang hadir bersolat jamaah Isya dan sekali lagi diimamkan oleh Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam alBanjari alNadwi alMaliki. Saya berkongsi rasa syukur dapat hadir dan memperoleh sesuatu yang bermakna bersama anak saya Anas Hayyan (untung benar dia baru berumur 10 tahun telah beroleh ijazah hadis), adik saya Zainan serta isterinya Nursyafini, sahabat saya Ainol Kusyairi (penulis buku PTS-tahniah bersemangat hadir walaupun datang jauh dari Penang!) dan Ustaz Syed Abd Hafiz Ben Yahya daripada JPN Kuala Lumpur.

Terima kasih tuan rumah Pusat Pengajian Baalawi yang gigih menganjurkan majlis ilmu dari masa ke masa. Semoga beliau terus dikurniakan rezeki halal dan kesihatan yang berpanjangan untuk membantu penyebaran ilmu ini.

 

%d bloggers like this: