Archive for Januari 2010

Hikayat Kadi dengan Harami !

Pada tahun 2006 saya telah membeli sebuah buku cerita yang diterjemahkan oleh Almarhum Tuan Qadhi Haji Abu Bakar bin Haji Hasan (gambar di bawah). Setelah dibelek-belek buku cerita itu, tercatat tarikh cetakan pada 1924 / 1343H.

Buku tersebut asalnya berbahasa arab dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Saya dapat simpulkan buku ini sangat menarik. Maka itulah antara sebab almarhum Tuan Kadi Muar menterjemah buku itu ke dalam bahasa ibunda untuk dinikmati oleh anak watannya.

Tn Kadi Muar Tuan Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Al Muari.

Untuk pengetahuan bersama, Tuan Kadi Muar Tn Hj Abu Bakar adalah seorang yang gigih menulis dan kuat mempertahankan akidah ummah sepanjang hayatnya. Antara karyanya ialah Taman Persuraian Haji Bakar, yang berkisar mengenai sembahyang qabliyah Jumaat, Majlis Uraian Muar-Johor, Sanggamara Dalam Perkara Menolak dan Membatalkan Perkataan Sayid Muhammad Rasyid Ridha Yang Berkata Dengan Niat Ushalli Itu Bid’ah, Cogan Perikatan, Ilmu Falak( ditulis dalam bahasa Arab), Ilmu Wafaq (dalam bahasa Arab) dan Nihayatut Taqrib fi Ma’rifatil Irtsi wat Ta’shib (ilmu faraid).*

Hikayat Kadi dengan Harami

Ceritanya bermula apabila seorang kadi (kadi al muslimin) pada zaman Harun Al Rasyid berjalan pada waktu malam dan terserempak dengan  seorang harami (pencuri-harami al muslimin). Maka bermulalah perdebatan yang hebat antara keduanya. Perdebatan antara seorang kadi dan pencuri itu adalah debat ilmiah…bukan main pukul-pukul! Ia disulami dengan dalil dan hujah Al Quran dan Hadis walaupun dia seorang pencuri! Barangkali sebab itulah si pencuri menggelarkan dirinya Harami al muslimin.

Antara petikan hikayat tersebut:

“Kata orang yang meriwayatkan ini kisah adalah malam itu sangat-sangat gelap gelita, maka antara qadi itu berjalan pada hal tiada mengetahui ia akan barang yang berlaku atasnya oleh takdir. Maka, tiba-tiba berjumpa ia dengan seorang harami ( pencuri) yang masyhur pekerjaannya dengan mencuri maka menyergah ia atas qadi itu satu suara yang kuat yang memeranjat dan menakut akan dia, maka qadi itu pun terperanjat serta katanya: “Ya Allah! Ya Sattar!” Dan lalu batal air sembahyangnya bukan ini pencuri tetapi ifrit.

Maka harami itu pun rapat kepada qadi dan katanya: “Ya Maulana Al Kadi! Turunlahkamu daripada kuda kamu dan cabutlah akan pakaian kamu!”

Maka jawab kadi itu “Apa tiada kamu malu pada hal aku ini kadi muslimin?”. Maka jawab harami itu baginya : “ Dan aku sariqul muslimin (pencuri muslimin)!”

“ Aku banyak hairan daripada pekerjaan engkau dan kurang akal engkau kerana apa sebab engkau keluar malam-malam buta seorang diri pada ini tempat yang sunyi manusia lalu lalang di sini dan tiba-tiba engkau berjalan dengan tiada rafiq (kawan)?” Maka kata kadi: Aku sangka sudah hampir subuh..”

Maka kata harami: “ Allah, Allah! Ya kadi! Bagaimanakah engkau jadi kadi muslimin dan engkau salah sekali tiada mengetahui saat dan waktu-waktu dan engkau jahil pula pada kawakib (bintang-bintang). Apa engkau tidak tahu adalah kawakib itu tujuh iaitu qamar, syams, atarid, zuhrah, marikh, musytari, zuhal, dan buruj itu dua belas buruj iaitu haml, thur, jauza’…………..”

Baiklah sedikit sahaja saya petik untuk tatapan saudara/i. Saya sedang menaip semula cerita ini sebenarnya. Semakin diulang taip semakin banyak yang saya tahu. Seronok membaca karya klasik.

Muka depan hikayat

* Diambil nama judul buku tulisan Almarhum Tn Kadi Muar daripada artikel Tuan Guru Mohd Saghir.

%d bloggers like this: