#Tips (4) Pendidikan: Mudahkan isi kandungan pelajaran yang sukar.

Guru perlu menguasai setiap isi kandungan pelajaran yang diajar. Namun menguasai sahaja tidak cukup. Penguasaan perlu diberikan nilai tambah dengan kemampuan menyampaikan ilmu dengan cara yang mudah murid fahami. Walau pun untuk topik yang paling sukar. Ingat, kemahiran mempermudahkan murid memahami kandungan pelajaran yang sukar adalah suatu yang sangat berharga bagi seorang guru. Mempermudahkan (simplifying) sesuatu yang sukar boleh diterjemah melalui inovasi, teknik unik dan sebagainya. Kadang kala, hanya dengan memperbaiki cara penerangan, murid sudah faham. Kadang kala, perkara yang sukar hanya dapat dipermudahkan melalui lakonan. Mungkin dipermudahkan pelajaran hanya dengan permainan. Cubalah pelbagai cara. Pasti ada satu cara yang sesuai untuk memudahkan anak murid kita.

#Tips (3) Pendidikan: Apa yang akan murid tiru daripada gurunya?

Guru merupakan role model kepada murid-muridnya. Setiap murid akan melihat gurunya daripada pelbagai sudut mengikut kecenderungan murid. Tidak hairan ada yang meniru gaya guru bercakap, gaya guru menulis, malah gaya guru berpakaian!

Guru mestilah teliti dan rapi dari segala segi sama ada percakapan, pakaian, gaya berjalan, tulisan malah status FBnya serta gambar dalam Instagram miliknya! .

Ayahandaku Guruku!

#Tips (2) Pendidikan: Bagaimana cara berunding dengan ibu bapa kepada anak murid?

Pendidikan adalah satu bidang yang banyak pihak sedar kepentingannya. Ramai individu merasakan mereka layak berbicara tentang pendidikan kerana mereka pernah melalui pengalaman belajar di sekolah. Ia memang benar.

adorable blur bookcase books

Photo by Pixabay on Pexels.com

Guru selaku pendidik profesional perlu memberi peluang kepada ibu bapa merasai bahawa mereka sebahagian daripada sistem pendidikan. Kebersamaan ini akan memberikan impak positif. Berbicaralah dengan ibu bapa seperti “rakan kongsi syarikat anda”. Anda mahukan kejayaan “produk niaga” anda, bukan?

man beside flat screen television with photos background

Photo by 祝 鹤槐 on Pexels.com

 

#Tips (1) Pendidikan:Mencipta budaya kajian tindakan

Guru adalah seorang profesional dalam bidang pendidikan yang menerapkan kerja secara sistematik dalam mengurus pengajarannya. Kerja guru perlu sistematik, terancang dan terarah. Perkembangan anak murid dan pencapaian mereka diteliti dan dianalisis.

Daripada kata kunci analisis inilah kajian tindakan memainkan peranannya. Guru boleh menjalankan kajian terhadap sebarang isu yang dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru wajar merekod dan menganalisis perkembangan murid dan cara penyelesaian sesuatu isu. Dapatan daripada analisis tersebut, merupakan data yang menarik untuk guru gunakan bagi memperbaiki pencapaian murid dan mutu pengajaran pada masa hadapan. Lanjutan itu, dapatan hasil kajian tindakan boleh dikongsikan dalam kalangan guru untuk manfaat yang lebih luas malah pandangan guru lain patut dipertimbangkan bagi memantapkan pendekatan yang diamalkan ke atas anak murid.

KEPIMPINAN MENURUT ISLAM

Disampaikan dalam Nadwah Kepimpinan Pelajar Islam Daerah Batu Pahat di Kem Kokurikulum Ulu Dengar, Kluang pada 7 Julai 2007 (Sabtu)

Oleh:
Ustaz Ahmad Zakuan bin Md Khudzari (SMK Sri Gading)

ASAS DAN PRINSIP KEPIMPINAN

  1. AlQuran dan asSunah dijadikan pegangan dan asas kepimpinan.
  2. Setiap individu yang mukallaf adalah seorang pemimpin.
  3. Memimpin diri sendiri dan ahli keluarga atau lebih luas lagi dalam konteks komuniti, organisasi, pertubuhan, negeri, negara dan sebagainya.
  4. Matlamat utama dalam kepimpinan untuk berjaya melepaskan diri dan orang di bawah kepimpinan daripada azab pedih pada hari pembalasan kelak.
  5. Menjurus kepada “AlAmru bil ma’ruf wa anNahyu ‘anil Munkar”
  6. Mengambil kira maslahat dan kebajikan ramai.
  7. Bersedia memimpin dan dipimpin, bersedia menerima cadangan dan kritikan.
  8. Mengambil pendekatan musyawarah dan berjemaah.

SIFAT PEMIMPIN

  1. Berilmu (ilmu fardu ain dan fardu kifayah)
  2. Beramal dengan ikhlas.
  3. Bertaqwa.
  4. Amanah.
  5. Prihatin dengan masa.
  6. Sedar dengan ruh islami, menolak fahaman kuffar dan karut marut.
  7. Berprinsip jelas/ cekal/ teguh dengan kebenaran.
  8. Sabar.
  9. Yakin dengan ketentuan Allah SWT.
  10. Menjauhi perkara-perkara haram zahir dan batin.
  11. Penampilan menarik.
  12. Menjiwai ibadah.
  13. Wara’ dan zuhud.
  14. Lemah lembut.
  15. Berani
  16. Adil

AKIBAT PENGABAIAN AMANAH

Sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada seorang pemimpin pun yang dilantik untuk urusan Muslimin kemudian ia tidak bersusah payah untuk mereka dan menasihati mereka kecuali tidak dimasukkannya ke syurga bersama-sama mereka”. (Riwayat Muslim)

Dari Abi Ya’la Maqal bin Yasar RA katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidak ada seorang pun dari hamba Allah yang diberikan (amanah) mengawal rakyat kemudian ia meninggal dunia dan pada hari itu dia menipu (mengkhianati) rakyatnya kecuali Allah haramkan ke atasnya syurga.

“Andalah Bakal Pemimpin Yang Akan Memimpin Umat & Memikul Amanah Islam”

Leader Eats Last!

Leadership is not a license to do less; it is a responsibility to do more
@paulminors

PENDEKATAN D-J-I DALAM MENYELESAIKAN ISU DAN MEMBUAT KEPUTUSAN

Artikel ini ditulis bagi berkongsi satu pendekatan untuk menyelesaikan isu dan membuat keputusan. D-J-I merupakan singkatan kepada elemen penting dalam model ini iaitu Definisi – Justifikasi – Implikasi.

Terdapat banyak model, kaedah dan gaya kepimpinan yang menawarkan cara menyelesaikan masalah dan membantu membuat keputusan yang telah dibina oleh pakar-pakar pengurusan. Pendekatan DJI dibina hasil pengalaman penulis dalam bidang pengurusan pendidikan dan pendekatan ini diperluaskan hasil model kepimpinan sedia ada yang diamalkan oleh pemimpin-pemimpin yang pernah membimbing penulis dalam kerjayanya.

Definisi

Dalam konteks penyelesaian isu dan proses membuat keputusan. Takrif yang jelas dan tepat terhadap objek yang diperbincangkan amat penting.

Oleh itu, apabila berhadapan dengan sesuatu isu, antara langkah pertama yang perlu diambil ialah (i) menetapkan takrif atau definisi setiap objek utama isu, (ii) mengenal pasti isu yang timbul, (iii) mengetahui latar belakang isu tersebut dan (iv) mendalami faktor penyebab timbul isu tersebut.

Sebagai contoh, seorang pegawai pentadbiran dalam sesuatu organisasi dikehendaki membuat keputusan untuk penganjuran satu program promosi dasar baharu kerajaan.

Bertitik tolak daripada keperluan melaksanakan program tersebut, pegawai bertanggungjawab perlu mengambil kira perkara-perkara di bawah:

1. Apakah objektif program?
2. Apakah falsafah program?
3. Daripada manakah punca kuasa program diperolehi?
4. Sejauh manakah liputan, ruang lingkup, atau sasaran program?
5. Kepada siapakah program ini ditujukan?
6. Mengapa program ini hendak diadakan?

Persoalan di atas jika dapat dijawab akan membuahkan satu kefahaman yang mendalam dan jelas tentang apakah isi kandungan dan keperluan program promosi dasar kerajaan tersebut dilaksanakan.

Selanjutnya, jawapan daripada persoalan yang diutarakan itu dapat membantu menetapkan latar belakang program yang komprehensif sebelum para pembuat keputusan mempertimbangkan mana-mana penyelesaian.

Justifikasi

Justifikasi bermaksud pembuat keputusan mampu memberikan jawapan daripada persoalan, kenapa? Mempersoalkan justifikasi sesuatu isu mampu membawa si pembuat keputusan meneroka dan menjangkakan manfaat yang akan diperoleh sekiranya program ini dilaksanakan atau sesuatu isu diselesaikan.

Jawapan daripada persoalan kenapa juga akan meletakkan pertimbangan adakah program yang dicadangkan perlu diadakan atau tidak? Adakah penyelesaian isu yang dihadapi perlu begini atau begitu?

Mana-mana cadangan, kehendak, perancangan yang tidak penting boleh dielakkan sehinggalah justifikasi yang jitu dapat diperoleh. Dalam konteks contoh penganjuran program promosi dasar kerajaan, persoalan tentang justifikasi sewajarnya berkisar tentang:

1. Kenapa program ini perlu diadakan?

2. Apakah manfaat dan faedah yang bakal diperolehi?

3. Apakah benar isu tertentu sesuai dengan keputusan yang diambil?

4. Kenapakah kita memilih aspek tertentu dan melepaskan yang lain?

 

Menyelesaikan mana-mana isu juga perlu diteliti apakah justifikasi keputusan yang bakal diambil. Sebagai contoh keputusan mengubah hala tuju operasi sesuatu jabatan. Perubahan yang hendak dilakukan mestilah menggambarkan keperluan yang penting dalam organisasi.

Implikasi

Implikasi yang dimaksudkan ialah kesan positif dan kesan negatif susulan daripada penganjuran program atau keputusan yang bakal dibuat. Perkara ini dapat disusun dengan mengutarakan persoalan berikut:

1. Apakah kesan sekiranya isu tidak dapat diselesaikan?
2. Apakah impak positif sekiranya isu dapat diselesaikan?
3. Adakah kesan positif dari program yang dilaksanakan- bakal dinikmati oleh golongan sasar?
4. Sejauhmanakah impak positif yang bakal diperoleh diganggu pula oleh impak negatif?
5. Adakah terdapat halangan untuk mencapai objektif yang digariskan?
6. Adakah terdapat ruang manipulasi mana-mana pihak jika sesuatu isu dibatalkan/ ditangguhkan?

Maklumat yang menyeluruh tentang implikasi membolehkan keputusan yang diambil dilihat bijaksana, cermat dan mengambil kira segenap aspek yang ada.

Kesimpulan

Pendekatan D-J-I (Definisi, Justifikasi dan Implikasi) merupakan hasil pengalaman penulis yang dikutip dari perjalanan kerjaya beliau dan khidmat di bawah para pemimpin di setiap organisasi tempat beliau bertugas.

Huraian bagi ketiga-tiga elemen ini boleh dikembangkan lagi memandangkan ianya mempunyai ruang penambahbaikan untuk disesuaikan dengan isu-isu yang pelbagai dan lebih spesifik.

Seterusnya, diharapkan pendekatan DJI dapat membantu berperanan sebagai pemangkin pemikiran yang tersusun, saintifik dan kritikal. Hasil keputusan yang dicapai hasil penelitian berdasarkan DJI seharusnya dilihat matang dan mampu mencapai hasil yang dijangkakan.

 

Desaru
29 Julai 2019

Dapatkan Kosa Kata Bahasa Arab (Tahun 2)!

Kosa Kata BA Tahun 2

Alhamdulillah telah terbit sebuah buku bertajuk Kosa Kata Bahasa Arab Tahun 2 terbitan Telaga Biru. Boleh dapatkannya di pasaran atau hubungi Telaga Biru untuk tempahan.

Sedikit sinopsis buku.

Buku Bahan Bantu Belajar (BBB) ini adalah untuk memudahkan murid-murid dan guru-guru dalam proses pembelajaran dan pengajaran mereka di dalam kelas. Walaupun mereka telah dibekalkan dengan buku teks dan buku latihan, namun buku ini dapat membantu murid-murid memahami sesuatu tajuk dengan lebih berkesan. Antara kelebihan buku ini ialah digarap oleh tenaga pakar yang terlibat secara langsung dengan penggubalan sukatan pelajaran kosa kata bahasa Arab, memasukkan isi-isi penting bagi setiap tajuk agar murid-murid dapat memahaminya dengan lebih mudah dan cepat, mempelbagaikan latihan bertahap bagi mengembangkan sesuatu tajuk, ilustrasi yang berwarna-warni bagi menarik minat murid-murid ketika belajar, disertakan kemahiran sukatan bagi setiap tajuk, Sesuai untuk murid semua kaum dan meningkatkan penguasaan kosa kata bahasa arab.

Layari link berikut untuk maklumat lanjut: http://www.telagabiru.net.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=524:bahasa-arab-tahun-2&catid=45:buku&Itemid=339

Adab seorang guru

Guru adalah insan yang tugasnya menta’dibkan manusia. Namun guru perlu terlebih dahulu menghiasi diri dengan adab sebagaimana Rasulullah SAW perintahkan kepada ummatnya.

Imej

(Keterangan foto, dari kanan)Shaykh Abd Fattah Abu Ghuddah, Shaykh Abdullah al-Ghumari,  Shaykh Muhammad Yasin al-Fadani, Shaykh Ismaeel Zayn, Shaykh Hasan al-Saqqaf and Shaykh Ibrahim al-Khalifah al-Ahsai

Saya lupa ambil daripada mana bahan di bawah ini, yang berkaitan dengan adab seorang guru. Artikel adalah terjemahan daripada tulisan Syeikhul Islam Syeikh al Ghazali rahimahu Llah. 

Berkata Imam Al-Ghazali:
Jika engkau seorang guru maka hendaklah engkau jaga adab-adab ini:

1- Ihtimal (banyak sabar menanggung kesusahan).

2- Lambat marah.

3- Duduk dengan hebat atas kelakuan yang tetap serta menundukkan kepala.

4- Meninggalkan takabbur atas sekelian hamba Allah Taala kecuali terhadap orang yang zalim kerana menegahkan daripada kezalimannya.

5- Memilih tawadhuk yakni merendahkan diri pada perhimpunan orang ramai dan pada majlis orang ramai.

6- Meninggalkan bergurau-gurau dan bermain-main.

7- Kasih sayang dengan murid dan lemah lembut dengan yang kurang pandai.

8- Membimbing murid yang bebal.

9- Tidak memarahi murid yang bodoh.

10- Tidak malu daripada berkata ‘Aku tidak tahu’ (bagi masalah yang tidak diketahuinya).

11- Memberikan perhatian kepada murid yang bertanya dan cuba memahami soalannya dengan baik.

12- Menerima hujah atau dalil yang dihadapkan kepadanya.

13- Tunduk kepada kebenaran dengan kembali kepadanya ketika ia tersalah.

14- Melarang murid daripada ilmu yang boleh memudaratkan.

15- Melarang murid daripada menghendaki yang lain daripada Allah dengan ilmunya.

16- Melarang murid daripada menuntut ilmu yang fardhu kifayah sebelum selesai daripada menuntut ilmu yang fardhu ain, dan ilmu yang fardhu ain itu ialah ilmu yang berkenaan dengan membaikkan zahir dan batinnya dengan taqwa.

17- Memperbaiki diri sendiri dengan taqwa sebelum ia menyuruh orang lain, supaya muridnya dapat mencontohi amalannya dan mengambil manfaat daripada percakapannya (ilmunya).

Lihat: Al-Ghazali, Abu Hamid (505H), Bidayatul Hidayah (diterjemahkan oleh: Ahmad Fahmi Zamzam), m/s 155-157, Kedah: Al-Khazanah Al-Banjariyah (edisi Jawi, Oktober 1993).

*Guru yang amanah dan beradab adalah juara perubahan (peringatan untuk diri sendiri).

Rihlah Ilmiah

Pagi 26 April saya berkejar ke DBP menghadiri majlis peluncuran buku autobiografi Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud bertajuk “Rihlah Ilmiah Wan Mohd. Nor Wan Daud dari Neomodernisme Ke Islamisasi Ilmu Komtemporer”.

Bukunya sangat menarik sebab ditulis dalam format soal jawab. Menurut Prof Zaini Ujang ketika melancarkan buku tersebut dia cuba membaca soalan yg dia mahukan jawapan sahaja. Pendekatan baru menulis autobiografi.

Rihlah Ilmiah_Prof Wan Mohd Nor bin Wan Daud

 

Buku ini menyingkap kehidupan beliau yang sekaligus menyuluh hubungan beliau dan gurunyayg dihormati Prof. Muhammad Naquib al Attas. Perjalanan ilmu Prof Wan Moh Nor mengesankan kerana beliau sempat belajar dengan Prof Fazlur Rahman yang menjadi sandaran aliran liberal manakala guru beliau juga Prof Naquib sama sekali bertentangan dengan pendapat Fazlur Rahman.

Demikian, cara anak murid menyantuni gurunya. Prof Wan Mohd Nor adalah hasil daripada tarbiah ta’dib yg diusahakan dan diperjuangkan oleh Prof Muhammad Naquib. Selamat membaca buku ini!

 

Jangan ganggu cintaku…

Kau boleh kata apa saja

tapi jangan ganggu apa yang ingin daku ucapkan kepada kekasihku.

Kau boleh dakwa apa saja

tapi jangan dakwa cinta kepada kekasihku itu cinta palsu.

Jangan sakiti daku dan kekasihku dengan lakumu!

Biarkan kami asyik dengan cinta ini

tenggelam dalam kemanisan cinta.

Tidakkah kau pernah merasainya?

Aku mendaki dengan kepayahan untuk mendapatkan cinta ini,

jangan kau ganggu aku.

Duhai Rasulullah…benar aku cintakanmu. Ya Allah, kurniakan aku kekal dalam cinta ini.

(Maulidur Rasul 1433Hijri)

%d bloggers like this: