Rihlah Ilmiah

Pagi 26 April saya berkejar ke DBP menghadiri majlis peluncuran buku autobiografi Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud bertajuk “Rihlah Ilmiah Wan Mohd. Nor Wan Daud dari Neomodernisme Ke Islamisasi Ilmu Komtemporer”.

Bukunya sangat menarik sebab ditulis dalam format soal jawab. Menurut Prof Zaini Ujang ketika melancarkan buku tersebut dia cuba membaca soalan yg dia mahukan jawapan sahaja. Pendekatan baru menulis autobiografi.

Rihlah Ilmiah_Prof Wan Mohd Nor bin Wan Daud

 

Buku ini menyingkap kehidupan beliau yang sekaligus menyuluh hubungan beliau dan gurunyayg dihormati Prof. Muhammad Naquib al Attas. Perjalanan ilmu Prof Wan Moh Nor mengesankan kerana beliau sempat belajar dengan Prof Fazlur Rahman yang menjadi sandaran aliran liberal manakala guru beliau juga Prof Naquib sama sekali bertentangan dengan pendapat Fazlur Rahman.

Demikian, cara anak murid menyantuni gurunya. Prof Wan Mohd Nor adalah hasil daripada tarbiah ta’dib yg diusahakan dan diperjuangkan oleh Prof Muhammad Naquib. Selamat membaca buku ini!

 

Jangan ganggu cintaku…

Kau boleh kata apa saja

tapi jangan ganggu apa yang ingin daku ucapkan kepada kekasihku.

Kau boleh dakwa apa saja

tapi jangan dakwa cinta kepada kekasihku itu cinta palsu.

Jangan sakiti daku dan kekasihku dengan lakumu!

Biarkan kami asyik dengan cinta ini

tenggelam dalam kemanisan cinta.

Tidakkah kau pernah merasainya?

Aku mendaki dengan kepayahan untuk mendapatkan cinta ini,

jangan kau ganggu aku.

Duhai Rasulullah…benar aku cintakanmu. Ya Allah, kurniakan aku kekal dalam cinta ini.

(Maulidur Rasul 1433Hijri)

Selamat berjuang, belajar rajin-rajin :)

Saya punya 8 orang adik beradik. Daripada sejumlah adik beradik seramai itu, hanya seorang perempuan. Jauharah.
Jauharah mempunyai abang dan adik lelaki, tetapi tidak mempunyai kakak dan adik perempuan (oleh kerana abang-abang dah berkahwin dapatlah dia kakak ipar…).
Semalam 16 Ogos 2011 saya sudah pasti berjauhan dari sudut geografi dengan adik saya yang seorang ini. Hari raya tahun ini pembantu ketua dapur dah tiada.
Barangkali terkesan dengan persekitaran kelelakian… Jauharah sangat independent, kadang kala mengalahkan lelaki. Nasib baik masih mengekalkan sifat dan sikap wanita. Keputusan telah diambil, tawaran dah diterima olehnya.
Selamat berkelana Jauharah, jaga diri baik-baik dan semoga berjaya mencari ilmu jauh di sana, di Clemson University, USA. Ngah pun tak berapa faham apa yang Jauharah belajar hehe:).

Jauharah, tetaplah tabah hadapi cabaran!

Dr. Jauharah bersama emak dan kakak2

Sajak zaman sekolah…

OPERA DUNIA

i. Semalam ,
Seorang anak kecil
Bermain
Tanpa cuba menjenguk jengah dunia hadapan

Semalam,
Seorang anak kecil
Duduk
Dengan penuh mengharap pada Yang Maha Esa

ii. Hari ini,
Seorang remaja dengan hobinya
Menggamit kemaksiatan yang indah padanya
Merosak junjungan ketimuran berzaman.

Hari ini,
Seorang remaja dengan jemaah
merafa’ ibadah himpunan masa
membangkit kegemilangan.

iii. Esok,
Seorang belia mengemis
Bersama tohmahan keji-kejian
Tanpa budi tanpa kebanggaan,
Pergi……..

Esok,
Seorang belia berkarisma murni
Membangkit kegemilangan tamadun silam
Mengukuh ukhuwah bersama membangun,
Mara……

AHMAD ZAKUAN BIN MOHD KHUDZAIRI
Aspura, SMAKJ
1993.

SMAKJ: belajar di sini dari Dis 1990-1995

Lawatan Kerja di Sekolah Orang Asli

Saya dan KPPM baru…

Tan Sri Hj Alimuddin bin Hj Mohd Dom telah bersara dari dunia pendidikan awal bulan November 2010. Pengalaman kerjaya beliau selama 30 tahun lebih telah merakamkan pelbagai pengalaman. Demikianlah setiap penjawat awam akan sampai ke garisan penamat perkhidmatannya. Bezanya ada yang sampai pada garisan penamat pada usia 58 tahun. Ada juga yang telah sampai ajal sebelum usia 58 tahun. Ia jelas berbeza kerana kematian tidak kita ketahui manakala tamat perkhidmatan kita ketahui waktunya. Benarlah mati adalah motivasi terhebat bagi umat Islam. Pendorong hakiki untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa, menjadi pengikut Nabi Muhammad SAW yang setia dan menjadi manusia yang terus menerus memberi manfaat kepada persekitarannya.

Dato' Abd Ghaffar bin Mahmud, KPPM yang baru

Tan Sri Alimuddin digantikan dengan Y.Bhg. Dato’ Abd. Ghafar bin Mahmud. Beliau bertugas sebagai Pengarah Institut Aminuddin Baki sebelum berpindah ke pejabat baru di Blok E8, Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya. Saya punya cerita peribadi dengan KPPM yang baru ini. Pada satu siri mesyuarat peringkat tinggi kementerian pelajaran di Johor Bahru pada tahun 2009 (bulan Ramadan), saya bertugas sebagai pengiring untuk para pengarah yang hadir bermesyuarat untuk solat jamaah dan tarawih di Masjid Sultan Abu Bakar. Saya dan Ustaz Hairozi bertugas pada malam pertama itu.  Jabatan Pelajaran Johor mengambil inisiatif untuk menyediakan kemudahan kenderaan bagi ahli mesyuarat yang berhajat ke masjid. Saya menunggu di lobi bersama Ustaz Hairozi. Sehingga waktu yang ditetapkan turunlah Tn Hj Ariffin b Embong Pengarah JPN Terengganu dan Dato’ Abd Ghaffar yang pada ketika itu Ketua Nazir Sekolah.

“Hmm 2 orang sahaja, jadi kita naik landrover jabatan sahaja Ustaz” cadang saya kepada Ustaz Hairozi.

‘Betul juga, takkan nak naik bas jabatan..” balas Ustaz Hairozi.

Maka saya, Ustaz Hairozi dan 2 orang tetamu kami itu menaikilah landrover jabatan. Saya, Dato’ Abd Ghaffar dan Tn Hj Ariffin bin Embong duduk di belakang. Ustaz Hairozi duduk di hadapan kerana saiz istimewanya, hehehe.

Dalam kenderaan saya hanya menjawab pertanyaan yang diajukan sahaja. Segan untuk berbual santai bersama tetamu kami. Namun mereka berdua sangat friendly.

“Saya memang dah lama nak pergi ke Masjid Negeri ni, nasib baik ada yang nak bawa saya…” ujar Tn Hj Ariffin sambil tersenyum.

Tn Hj Ariffin banyak berbual dengan Dato’ Abd Ghaffar dan saya mendengar sahajalah.

Sampai di masjid Tn Hj Ariffin berkata ” Ustaz kita solat tarawih lapan rakaat ya…”

“Ok tuan, saya tunggu di pintu keluar masjid” kata saya.

Dalam perjalanan balik Dato’ Abd Ghaffar berkata pada saya ” Ustaz, ada surau atau masjid berdekatan?”.

“Ada Dato’ di sebelah hotel ini” beritahu saya. Kebetulan hotel berdekatan dengan kuarters pengawai kerajaan di Stulang itu.

“Kalau begitu subuh dan tarawih esok saya solat di sini sahajalah” kata Dato’.

Oh, hebat. Saya suka mendengar pemimpin yang ada komitmen begini!

Kami mengakhiri ‘slot malam’ itu dengan moreh di sebuah restoren di tepi selat Stulang. Banyak yang diceritakan oleh mereka berdua kepada saya dan Ustaz Hairozi. Benar kita orang lebih muda mesti mendampingi orang yang lebih tua dan lebih berpengalaman. Mereka banyak formula untuk penyelesaian masalah dan cadangan strategi pendidikan.

Saya mendoakan KPPM baru diberikan kekuatan menakhoda kementerian pelajaran dengan baik dan dianugerahkan hidayah serta petunjuk untuk memberi haluan yang betul kepada hala tujuan pendidikan negara ini.

Dato’ selamat bertugas!

Hadiah yang menggembirakan saya.

Saya gemar membaca. Saya pening dan rasa ‘ tak betul’ kalau tidak membaca bahan bacaan yang boleh ‘menggugat’ fikiran atau pengetahuan saya. Terasa kenyang dan puas bila dapat membaca bahan bacaan yang pelbagai. Antara jenis buku yang saya minati ialah biografi tokoh, travelog, sejarah, bacaan umum, novel  (bukan novel popular!) dan tentunya kitab/buku agama.

Bertemu Prof Kamil (Travelog Haji) di Plaza Angsana

Saya cukup letih melayan bahan bacaan yang hanya memberikan saya sumber maklumat yang remeh temeh. Hanan isteri saya terkadang kecil hati apabila saya tidak melayan perbualannya, hanya kerana saya baru membeli sebuah buku baru. Ia berlalu begitu sahaja di awal perkahwinan dan sekarang isteri saya biasa dengan keadaan itu. Bawah bantal, sebelah katil, atas meja makan dan celah pintu kereta antara lokasi buku saya selain tempat asalnya di rak yang disediakan. Meriah bila mata saya sentiasa melihat buku di mana-mana. Sekali lagi isteri saya pening dengan ‘penguasaan buku’ di mana-mana itu.

Antara hadiah yang suka saya berikan untuk sesiapa pun ialah buku. Orang yang baru berkahwin saya selalu cadangkan untuk dihadiahkan buku tentang rumah tangga atau persiapan kelahiran anak! Orang yang bersara pun saya hadiahi buku.

Mendapatkan autograf penulis tersohor Faisal Tehrani di Pesta Buku KL

Pupuk minat membaca dari kecil

Saya kira tabiat membaca perlu disemai sejak kecil. Saya hasil didikan bapa saya yang gemar membaca. Saya sedari umur kanak-kanak melihat tabiat itu sebagai rutin harian. Akhbar sejak dari dahulu dilanggan secara harian. Pengedar akhbar Si Uncle Chong yang melempar akhbar setiap pagi mengenali kesemua adik beradik saya. Kadang-kadang Uncle Chong melempar masuk akhbar ke rumah pelanggannya tanpa memberhentikan motor. Kemahiran tinggi bermotorsikal! Sekarang Uncle Chong semakin tua dan uban di kepala semakin banyak.

Ayah saya sebelum pulang ke rumah dari mengajar di Maahad Johor akan singgah di Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru (kami adik beradik menjadi ahli perpustakaan sejak kecil lagi). Abah akan meminjamkan buku untuk kami baca. Hasilnya, bahan bacaan saya adik beradik tidak pernah putus. Hinggakan pada satu hari abang saya bersungut bahawa kebanyakan buku fiksyen kanak-kanak di perpustakaan telah habis dibaca! Abah menghadapi masalah untuk memilih buku kerana hampir semua buku telah dibaca. Saya ketika berkunjung ke perpustakaan itu sering kali naik ke tingkat atas (kawasan buku orang dewasa) untuk membaca buku yang sedikit berbeza. Sehingga kini, membaca bukan lagi dipaksa-paksa, membaca telah jadi rutin yang menyenangkan.

Apa yang lebih menggembirakan hati saya, pada ulangtahun kelahiran, saya dihadiahi buku oleh anak saya. Buku yang anak saya hadiahkan menurut Hanan dipilih oleh mereka sendiri. Mereka menggunakan duit raya masing-masing dan dilepaskan oleh Hanan di Alamanda. Mereka memilih untuk membeli buku. Anas membeli buku Secangkir Teh Pengubat Letih (Galeri Ilmu) tulisan Akhi Hasrizal bin Abd Jamil.

Bila ditanya kenapa Anas memilih buku itu, dia menjawab sebab abah selalu out station!

Buku pilihan Anas !

Pak Habib menghadiahkan saya buku politik tulisan beliau.*

 

(Terserempak dengan Syed Husien (Pak Habib) penulis buku politik. Saya melayan beliau berbual berkaitan pengalaman beliau menulis buku politik semasa menunggu penerbangan ke Kota Bahru tahun lepas. Akhir pertemuan saya dihadiahkan buku terbaru beliau)

Manakala Abir memilih buku Bijak Berbicara Mencuit Rasa tulisan  Badrul Sani (Ameen Publishing). Abir memberitahu sebab dia memilih untuk membeli buku tersebut kerana tertarik dengan tajuknya dan barangkali muka depan buku itu terpapar gambar penulisnya bersongkok kot!

Buku pilihan Abir untuk orang yang selalu berucap dan berceramah...

Mudah-mudahan tabiat suka membaca berakar di hati anak-anak saya sampai bila-bila. Ia kunci kepada ilmu, kita jauh daripada ilmu bila kita tidak membaca. Demikian membaca al Quran terlebih aula / utama dan itulah asas pembacaan utama seorang muslim. Jangan berhenti setakat al Quran malah perlu diteruskan dengan membaca tafsirannya. Bacalah, nescaya kita semakin dekat dengan Allah…

Buat anak-anak abah, jangan berhenti membaca. Abah gembira dengan hadiah buku itu…

REZEKI DARIPADA SUMBER YANG TIDAK TERJANGKA

Ayat seribu dinar antara ayat al Quran yang popular di kalangan umat Islam di Malaysia. Barangkali indikator popularnya bolehlah diukur daripada banyaknya frame ayat tersebut yang digantung di rumah-rumah, kedai dan pejabat. Di rumah saya sendiri ada 2 buah frame ayat seribu dinar yang belum bergantung (kedua-duanya adalah hadiah, walhamdulillah. Sebenarnya saya sukakan dinding yang kosong hehe).

Kandungan ayat seribu dinar menyatakan kepada kita akan kelebihan hamba yang bertaqwa. Kelebihan yang dimaksudkan itu ialah almuttaqiy / orang yang bertaqwa akan diberi jalan keluar atas apa yang dihadapi dan dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak terjangka.

Malam selepas solat fardu maghrib, 2 Zulqaedah 1431H bersamaan 9 Oktober 2010 saya berpeluang bertemu dan duduk dalam satu majlis ilmu seorang tokoh ilmu hadis daripada Nadwatul Ulama’, India iaitu AsSyeikh Al Muhaddis Salman Al Husaini An Nadwi.  Majlis tersebut berlangsung di Pusat Pengajian Ba’alawi Kuala Lumpur.

Syeikh Salman

Berdiri: TG Ahmad Fahmi Duduk: Syeikh AlMuhaddis Salman AnNadwi

Assyeikh walaupun kepenatan daripada musafir ke Jakarta, Banjarmasin, Kelantan dan Kedah tetap bersemangat menyampaikan ilmu dan misi menyebarkan kepentingan menuntut ilmu dengan bersanad. Beliau menyatakan kekuatan ilmu Islam yang berlangsung daripada zaman Rasulullah SAW hinggalah sekarang  adalah berpunca daripada pengajian bersanad. Keaslian ilmu dan amanah ilmiah yang dipegang oleh para alim ulama adalah kunci kepada kelangsungan sunnah dan syariah.

Pada akhir pengajian malam tadi Assyeikh telah memberikan amanah kepada para alim ulama yang hadir, para asatizah dan juga semua pencinta ilmu yang hadir untuk memegang amanah untuk menyebarkan ilmu dan tidak menyembunyikannya. Sebagaimana assyeikh meminta semua yang hadir berpegang teguh kepada al Quran dan asSunnah.

Dalam masa lebih kurang sejam assyeikh telah menceritakan kaitan antara al Quran dan Hadis yang menjadi syarih atau penerang yang menjelaskan makna wahyu dalam al Quran.  Kaedah menyampaikan hadis pada zaman di mana pembesar suara belum wujud lagi atau belum digunakan lagi dalam kelas pengajian hadis juga diceritakan.  Dalam majlis pembacaan hadis selalunya ada murid yang bertindak sebagai mustamli (penyampai hadis). Mustamli akan berada di tempat-tempat tinggi atau di atas pokok  untuk mengulang perkataan yang disampaikan oleh tuan guru. Sekiranya tuan guru menyebut haddathana fulanun maka mustamli akan mengulang haddathana fulanun, berturutanlah mustamli yang berada lebih jauh jaraknya untuk mengulang patah perkataan tersebut.

Benar saya berasa sangat beruntung diberi nikmat ilmu pada malam tadi. Apatah lagi ceramah assyeikh dalam bahasa Arab yang begitu jelas dan sangat menarik! Beliau pemidato yang hebat!

Usai kuliah semua yang hadir bersolat jamaah Isya dan sekali lagi diimamkan oleh Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam alBanjari alNadwi alMaliki. Saya berkongsi rasa syukur dapat hadir dan memperoleh sesuatu yang bermakna bersama anak saya Anas Hayyan (untung benar dia baru berumur 10 tahun telah beroleh ijazah hadis), adik saya Zainan serta isterinya Nursyafini, sahabat saya Ainol Kusyairi (penulis buku PTS-tahniah bersemangat hadir walaupun datang jauh dari Penang!) dan Ustaz Syed Abd Hafiz Ben Yahya daripada JPN Kuala Lumpur.

Terima kasih tuan rumah Pusat Pengajian Baalawi yang gigih menganjurkan majlis ilmu dari masa ke masa. Semoga beliau terus dikurniakan rezeki halal dan kesihatan yang berpanjangan untuk membantu penyebaran ilmu ini.

 

Lelah & Inovasi

Semalam 17 Ogos 2010 bersamaan 7 Ramadan 1431H saya ke Klinik Kesihatan Putrajaya. Saya memohon kebenaran Ketua Jabatan untuk membawa anak ketiga saya Anwar Hakim ke klinik kerana dia menampakkan simptom semput. Sukar bernafas dan bunyi wisel di dada ketika menarik nafas adalah antara tanda-tanda lelah/asma.

Apa yang menarik di Klinik Kesihatan Putrajaya ialah penggunaan teknologi dalam melayan pelanggan/pesakit yang datang untuk menerima rawatan dan sebagainya. Saya mendaftar dan menerima kad lawatan pesakit.

Kad lawatan pesakit

” Encik bawa kad ini ke kaunter rawatan, scan kad ini dan tunggu nombor encik dipanggil ya” kata jururawat di bahagian pendaftaran.

“Wah, bagus ya. Ada pengalaman baru hari ini!” saya bercakap seorang diri.

Oleh kerana Anwar sakit lelah, dia dibawa terus ke sudut nebulizer. Lalu menyedut gaslah dia. Setelah dua kali sesi nebulizer, Anwar masih mengalami simptom lelah.

Agak mencabar apabila menunggu lama giliran bertemu doktor. Klinik ini mencatatkan purata pesakit yang datang ialah sekitar 1200 orang sehari! Ramainya!

Apa pun layanan semua staf dan doktor sangat bagus. Doktor memberikan Anwar ‘ bekal’ inhaler untuk digunakan di rumah. Selesai pemeriksaan dengan doktor, saya dipesan ” Lepas ini ke  bahagian farmasi. Encik scan kad rawatan dan tunggu nombor dipanggil ya. Maklumat ubat dan inhaler sudah dalam makluman farmasi “.

“Oh, online system!” sekali lagi saya berkata hanya dalam hati. Kita tak perlu bawa deskripsi ubat ke farmasi sendiri atau jika di sesetengah hospital ada pembantu yang bertugas ambil kenyataan doktor ke bahagian farmasi.

Pengalaman ini memngingatkan saya tentang inovasi. Inovasi banyak memudahkan kerja kita. Ringkasnya inovasi bermaksud MELAKUKAN KERJA YANG SAMA DENGAN CARA YANG BERBEZA DAN LEBIH BERKESAN. Untuk melayan 1200 orang pesakit sehari memerlukan inovasi dan cara penyelesaian yang berkesan. Benar masa menunggu pemeriksaan doktor agak lama. Tapi tanpa pengurusan yang sistematik saya rasa masa menunggu akan lebih lama dan meresahkan semua pihak.

Alhamdulillah…pengalaman adalah satu pengajaran. Terima kasih dan kepada semua kakitangan Klinik Kesihatan Putrajaya! Oh teringat nak bagi Anwar makan ubat dan observe cara dia guna inhaler.

Janganlah sampai besar Anwar pakai alat ini.

Persiapkan perisaimu

Salam Ramadan,

Alhamdulillah kita berjumpa sekali lagi dengan tetamu yang ditunggu-tunggu ….Ramadan al Mubarak.

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ الْقَعْنَبِيُّ عَنْ مَالِكٍ عَنْ أَبِي الزِّنَادِ عَنْ الْأَعْرَجِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ جُنَّةٌ إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ صَائِمًا فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ فَإِنْ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ إِنِّي صَائِمٌ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Puasa adalah PERISAI, apabila ada diantara kamu berpuasa maka jangan berbicara yang kotor, jangan bersikap jahil, jika seseorang memerangi/ mengutuknya atau mencacinya, maka katalah SESUNGGUHNYA AKU BERPUASA, AKU BERPUASA.

Banyak cabaran dalam kehidupan ini, puasa berupaya menjadi perisai kepada kita. Puasa perlu dihayati falsafahnya. Puasa bukan sekadar menahan makan, minum dan nafsu di siang hari. Puasa bermakna lebih dari itu. Puasa adalah menghayati apa perlunya kita berpuasa, apakah panca indera kita turut berpuasa malah puasa bersifat melatih diri menundukkan kehendak yang tidak perlu dalam kehidupan ini.

Ramadan adalah pesta ibadah. Maka bersamalah kita meraikan pesta ini dengan bersungguh-sungguh.

Semoga kita sampai ke destinasi hari terakhir Ramadan dan kita beroleh darjat TAQWA sebenarnya. Semoga latihan selama sebulan akan memberi kekuatan untuk perjalanan kita 11 bulan seterusnya.

Salam Ramadan !!

Sampaikah kita di destinasi yang dituju?

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.